RUMAH MELAYU LAMA PENGHULU MUKIM KELOLA DIPINDAHKAN KE MUZIUM WARISAN MELAYU






JERANTUT, PAHANG- Universiti Putra Malaysia sekali lagi mengambil inisiatif mendapatkan rumah melayu lama dan ‘dipindahkan’ ke Muzium Warisan Melayu , UPM.

Rumah ini merupakan milik asal Penghulu Mukim Kelola, Haji Ismail bin Khatib Bakar, Penghulu Mukim Kelola pada awal abad ke-20. Reka bentuk rumah ini merupakan reka bentuk tipikal Rumah Serambi Pahang, dengan bumbung tinggi seakan-akan reka bentuk bumbung rumah tradisional Melayu Melaka, dan ruang rumah ibu yang diapit serambi hadapan dan belakang. Bagi penduduk sekitar, rumah ini lebih dikenali sebagai rumah besar kerana saiznya yang besar dengan sebuah unit balai yang bersambung dengan serambi hadapan, sesuai dengan taraf pemiliknya seorang penghulu di mukim tersebut.

Bagi Pengarah Muzium Warisan Melayu, Dr. Muhammad Pauzi Abd Latif rumah ini disifatkan sebagai sebuah rumah lama yang istimewa.



 “Rumah ini cukup istimewa, selama saya terlibat dengan pencarian rumah lama, inilah satu-satunya rumah yang mempunyai balai dan struktur kayunya masih utuh walaupun sudah berusia 90 tahun”.
Tambahnya lagi, “Terdapat juga perahu jalur yang berukuran 30 kaki panjang, yang dihasilkan daripada sebatang balak yang ditebuk”.

Pemindahan rumah ini ke Muzium Warisan Melayu UPM merupakan initiatif dan usaha Ahli Parlimen Jerantut, Pahang, YB Haji Ahmad Nazlan bin Idris yang ingin melihat rumah tradisional Pahang dipelihara untuk tatapan generasi akan datang. Rumah ini juga akan dijadikan rujukan bagi pengkaji-pengkaji seni bina rumah melayu.

Rumah ini dijangka siap dipasang pada bulan April nanti.





PAMERAN SENI BINA WARISAN MELAYU DAN "INTERNATIONAL MALAY ARTS AND CULTURE (IMAC) 2014

Pameran Seni Bina Warisan Melayu dan “International Malay Art Culture” merupakan satu usaha yang dilakukan oleh Muzium Warisan Melayu, UPM dengan kerjasama Qew Communication Sdn Bhd, Jabatan Muzium Malaysia dan Edu Park UPM dalam usaha menghidupkan dan memperkenalkan semula Warisan Melayu dari segi Seni Bina, Tarian, alat muzik dan permainan tradisional melayu.






Program  ini telah dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Penasihat Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Perdana Menteri. 



Selain itu, dalam majlis yang sama turut berlangsung majlis penyerahan rumah tradisional Pahang yang berusia hampir seratus tahun oleh YB Haji Ahmad Nazlan bin Idris, Ahli Parlimen Jerantut, Pahang. Rumah tersebut akan dipelihara dan dijadikan sebagai rujukan buat pengkaji-pengkaji seni bina melayu lama.








Pameran ini telah berlangsung selama lapan hari bermula pada 20 November 2014 (majlis perasmian) sehingga 28 November 2014.